Saturday, November 1, 2014

PERTANIAN LESTARI - DI MALAYSIA

PERTANIAN LESTARI (Sustainable Agriculture) banyak diperkatakan dikalangan profesional dalam bidang pertanian dan alam sekitar. Ia juga kadang-kadang sisebut sebagai pertanian mampan dikalangan orang ramai. Pertanian lestari merupakan satu konsep pertanian mapan yang tidak mencemarkan alam sekitar. Produk pertanian lestari adalah selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menstabilkan pendapatan petani. Peralihan daripada pertanian konvensional kepada pertanian lestari mempunyai banyak kelebihan. Satu cara bagi mengatasi masalah adalah pembebasan gas rumah hijau dan pemanasan global adalah pertanian lestari. Pertanian lestari banyak bergantung kepada bahan semulajadi menggunakan flora dan fauna yang terdapat dalam tanah. Misalnya bagi mendapatkan unsur nitrogen dalam baja, gunakan mikrob yang mampu mengambil nitrogen dari udara untuk dipindahkan ke pokok. Biasanya dalam pertanian lestari, tanah akan subur apabila terdapat banyak karbon di dalamnya. Pertanian lestari menggunakan bahan kimia yang minimum dan tidak akan merosakkan alam sekitar. Sebagai contoh pertanian lestari adalah pertanian organik dan pertanian semulajadi. Kedua-dua pertanian ini menggunakan sumber semula jadi seperti baja organik, arang daripada kayu bagi menambahkan unsur karbon dalam tanah daripada satu kepada empat peratus. Dalam pertanian lestari, nutrien dalam pokok akan berada dalam keseimbangan dan mengurangkan dari serangan serangga. Terdapat teori yang mengatakan serangga kurang menyerang pokok yang mempunyai keseimbangan semula jadi. Bila menggunakan banyak racun perosak, mikrob pada pokok akan mati dan memudahkan serangan serangga dan penyakit. Kini permintaan terhadap makanan organik dan semulajadi bertambah tinggi dengan kesedaran terdapat pelbagai penyakit seperti kanser dan sebagainya. Artikel subuh Jumaat ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai apa dia pertanian lestari dan apa yang berlaku di Malaysia sebagai cetusan idea selepas solat subuh untuk menyegarkan minda.

Pada masa ini lazimnya banyak ladang pertanian komersial diusahakan bagi memenuhi permintaan bekalan makanan memandangkan keperluan kian meningkat seiring dengan bilangan penduduk di negara ini. Penulis mendapati perusahaan ladang ini menggunakan pelbagai bahan kimia seperti racun dan baja bagi menjana hasil produk dan keuntungan yang tinggi. Bagaimana pun, penggunaan kedua-dua bahan itu secara berleluasa menyebabkan populasi serangga perosak kian bertambah sehingga menimbulkan masalah kerosakan pada tanaman. Kawasan sayuran di Cameroon Highland sebagai contoh dikawasan terbuka menggunakan banyak bahan kimia untuk menghasilkan Cili Benggala (Sila lihat foto sebelah). Kini teknologi fertigasi dan Kalis Serangga serta Struktut Pelindung Hujan telah diguna kearah pertanian lestari. Cara ini mampu menghasilkan produk sayuran yang berkualiti, selamat dimakan dan mendapat jaminan pasaran. Walau pun kos permulaan kearah pertanian lestari ini relatifnya tinggi bagi teknologi diatas, ianya akan menjamin pulangan lumayan dalam jangkamasa lama. 

Pengalaman penulis yang terlibat dengan sektor tanaman selama 34 tahun mendapati terdapat beberapa bukti apabila beberapa jenis tanaman dilanda penyakit sehingga menyebabkan bekalan makanan berkurangan di pasaran. Kebanyakan pengusaha tidak menyedari sikap mereka yang tidak mengikut jadual atau formula dalam penggunaan racun mengakibatkan kehadiran pelbagai serangga perosak. Amalan ini meningkatkan lagi kewujudan serangga pada tumbuhan kerana rintang atau imun terhadap racun tersebut. Selain itu cara amalan ini akan memusnahkan serangga baik yang biasanya berfaedah sebagai agen pendebungaan seperti lebah dan kerengga dan semut. Ketika ini tanaman padi negara berhadapan dengan beberapa jenis penyakit seperti serangan ulat ratus yang berlaku di utara tanah air akibat beberapa faktor persekitaran yang akan menjejaskan hasil pengeluaran padi. Pemerhatian mendapati wabak serangan serangga itu menyaksikan tangkai padi dipotong di bahagian pangkal sekali gus menyebabkan pokok mati. Ia juga menyerang pada semua peringkat dalam pertumbuhan padi.

Di Malaysia tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) merupakan tanaman yang menjana pendapatan jutaan ringgit setiap tahun.  Tanaman ini juga kini telah berhadapan dengan kemungkinan serangan kumbang Red Palm Weevil (Rhnchophorus ferrugineus) kerana Jabatan Pertanian telah mengenalpasti kejadian serangan kumbang ini keatas pokok kelapa terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kumbang ini dikesan oleh Jabatan Pertanian melaporkan bahawa ia mula dikesan pada 2005 dan kemungkinan dibawa dari India. Serangga perosak ini mempunyai banyak pokok perumah seperti kelapa, kelapa sawit, sagu, kurma dan pelbagai spesies palma lain. Larva serangga ini akan memakan batang dan pucuk pokok yang akhirnya mengakibatkan pucuk dan putik layu serta pokok akan mati. Perhatian mengenai penyebaran kumbang ini terus dilakukan oleh Jabatan Pertanian setiap masa bagi mempastikan ia tidak akan menyerang tanaman kelapa sawit. Jika tanaman kelapa sawit diserang maka kemungkinan industri penting ini akan terjejas teruk dan akan menjadikan ekonomi negara terjejas.

Aktiviti untuk memulihara agrobiodiversiti di Malaysia perlu terus dilakukan sepanjang masa. Kini penulis dapati selain serangan langsung kepada tanaman, terdapat juga serangan penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau virus dan disebarkan melalui pelbagai cara seperti vektor serangga. Kini beberapa lokasi penanaman pisang di Johor, Selangor, Perak dan beberapa negeri lagi terjejas akibat serangan penyakit Moko pada tanaman pisang. Ia adalah penyakit layu pada pisang disebabkan oleh bakteria Ralstonia solanacearum yang biasanya didapati di Amerika Tengah dan Selatan. Contoh lain penyakit bawaan serangga adalah penyakit mati rosot betik atau papaya dieback disease. Ia mula dikesan pada 2003 dan menyerang pokok betik juga berlaku di sekitar negeri Johor, Melaka, Perak sehingga membuatkan industri pengeluaran betik terjejas teruk. Penyakit ini menyerang bahagian daun, pucuk, buah dan pelepah daun sehingga membuatkannya layu dan rosak. Lazimnya peningkatan wabak serangan serangga perosak dan pelbagai penyakit dalam industri pertanian adalah disebabkan kurangnya pengetahuan dalam kalangan petani tentang punca perkara ini.

Adalah penting bagi semua pihak untuk perlu memahami permasalahan seperti serangan serangga perosak dan juga penyakit daripada konteks pertanian lestari dengan cara untuk memulihara keseimbangan kepelbagaian biologi (Sila lihat foto sebelah). Kaedah pertanian lestari perlu diberi penekanan bagi menjamin keselamatan bekalan makanan secara mapan pada masa akan datang. Pengurusan dan pemuliharaan agrobiodiversiti yang baik juga dilihat sama penting dalam menjayakan hasrat tersebut.
Pertanian lestari merupakan konsep pertanian yang tidak mencemarkan alam sekitar kerana ia banyak bergantung kepada bahan semula jadi. Lazimnya pertanian mudah terdedah dan menanggung impak daripada perubahan cuaca. Oleh itu, kaedah ini harus dilaksanakan dengan mengambil kira penyelesaian terhadap perubahan cuaca dan jaminan makanan. Permasalahan ini boleh diatasi dengan pendekatan bersepadu daripada pelbagai peringkat sama ada petani, penyelidik atau penggubal undang-undang. Kini para penyelidik sedang giat membangunkan tanaman baru lebih rintang terhadap faktor perubahan cuaca melalui pendekatan bioteknologi dan pembaikbakaan. Adalah peru ujud untuk membangunkan strategi bagi Malaysia mencapai kesepakatan dalam agrobiodiversiti bagi menghadapi cabaran jaminan makanan, perubahan cuaca dan dapat mengekalkan pertanian dalam tahun mendatang. Wasallam.

PERTANIAN LESTARI... APA DIA...
PELBAGAI TEKNOLOGI...DISEDIA...
JAMINAN MAKANAN... PASTI ADA...
KITA LAKSANAKAN... DI MALAYSIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kawasan Pertanian Intensif,
Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(1 Muharam 1436H)

 

No comments: