Friday, November 28, 2014

ARANG TEMPURUNG KELAPA

ARANG HITAM dari tempurung kelapa (Cocos nucifera) atau Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) merupakan satu industri yang semakin popular dalam menghasilkan karbon aktif (Activated carbon). Arang tempurung kelapa selama ini lebih sering kita kenal sebagai bahan bakar untuk memanggang atau membakar ikan atau makanan lain. Di balik kehitaman arang tempurung kelapa itu, ternyata memang ia menyimpan nilai ekonomi yang lebih tinggi lagi. Penulis melawat beberapa kilang memproses kelapa di Perak, Johor dan Selangor dimana terdapat beberapa kilang yang telah memproses tempurung kelapa untuk dijadikan bahan karbon aktif. Tempurung kelapa yang dijadikan arang selalunya akan dapat ditingkatkan nilai ekonominya dengan menjadikan kepada produk karbon aktif. Cara membuat karbon aktif dari tempurung kelapa juga relatif lebih mudah dengan SOP pembuatan yang simpel. Pada masa ini saya dapati produk 'Karbon Aktif' ini digunakan dan berfungsi sebagai penapis (filter) untuk menjernihkan air, pemurnian gas, industri minuman, farmasi, catalisator dan berbagai penggunaan lain. Tempurung kelapa adalah salah satu bahan karbon aktif yang kualitinya dikatakan terbaik jika ia dijadikan karbon aktif. Ini diebabkan dari segi bentuk dan ukuran serta kualiti, tempurung kelapa harus dipilh untuk pemprosesan dalam industri pembuatan karbon aktif. Tempurung kelapa yang hendak dijadikan bahan pembuat karbon aktif dikenalpasti sebaiknya bebentuk setengah atau seperempat ukuran tempurung. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Arang Tempurung Kelapa sebagai satu by-produk dari kilang memproses kelapa yang mempunyai nilai tinggi dipasaran jika ia diproses secara sistematik.


Penentuan tempurung kelapa yang hendak dijadikan bahan karbon aktif ini mesti dilakukan dengan teliti. Lazimnya jika ukuran tempurong yang digunakan jenis yang terlalu hancur, maka tempurung itu kurang sesuai untuk dijadikan bahan produk karbon aktif. Dari segi kualiti produk lazimnya digunakan jenis tempurung kelapa yang memenuhi syarat dijadikan produk karbon aktif adalah kelapa yang benar-benar tua hingga warnanya hitam berkilat dan strukturnya amat keras (Sila anda lihat foto disebelah). Oleh itu tempurung yang dijadikan bahan pembuat karbon aktif sebaiknya terdiri dari kelapa yang dijadikan kopra. Tempurung ('Batock' dalam bahasa Jawa) adalah dari kelapa yang dihasilkan dengan membelah dua dari sebiji buah kelapa. Dalam proses untuk membuat karbon aktif yang berkualiti sebaiknya tempurung yang hendak diproses mesti dalam keadaan bersih dan terpisah dari sabutnya. Lazimnya ada dua jenis atau tahap dalam membuat karbon aktif yang berkualiti dari tempurung kelapa. 


Peringkat Pertama yang harus dilakukan adalah tempurung dibuat arang dengan peralatan drum berpenutup (Sila anda lihat foto disebelah). Pada peringkat kedua adalah dimana ia melalui proses khas membuat arang iaitu pembentukkan arang tempurung hingga menghasilkan karbon aktif dan serbuk arang. Serbuk arang ini masih boleh diproses menjadi bentuk bata arang tempurung. Pembentukkan itu dilakukan dengan mesin yang sederhana sama ia digerakkan oleh eletrik atau minyak petrol. Lazimnya kualiti tempurung dan proses pembakaran akan sangat menentukan kualiti karbon aktif yang dihasilkan. Kualiti bagi jenis tempurung kelapa biasa lebih baik dibanding kelapa dari buah kelapa hibrid. Di Malaysia tempurung kelapa dari varieti Malayan Tall, Tagnanan dan West African Tall dilaporkan mempunyai kualiti arang karbon yang aktif. Dalam menentukan kualiti, kaedah membakar dengan tong drum dimana ada 4 lubang dibahagian bawah tong drum untuk sistem pengudaraan adalah cara terbaik. 


Lazimnya proses pembakaran arang dilakukan lapis demi lapis tempurung. Proses dimulakan dengan pembakaran dengan menggunakan kayu bahan bakar dibawah tong drum. Setelah tempurung lapisan pertama terbakar maka ia sedikit demi sedikit naik kepada lapisan dibahagian tempurung diatasnya. Langkah ini terus dilakukan sampai drum penuh dengan arang tempurung kelapa untuk dijadikan karbon aktif. Semasa tempurung lapisan atas sudah terbakar maka alas batu bata yang menjadi tunku drum dialih perlahan-lahan. Akhirnya tong drum akan sampai ditanah untuk menghalang dari udara memasukkin ruang pembakaran. Jika ada udara yang masuk kesannya arang yang ada dalam drum akan menjadi abu. Tetapi kalau drum ditutup rapat sebelum seluruh tempurung terbakar pula kesannya tempurung tidak akan menjadi arang. Keesokan harinya apabila siap dan api terpadam maka penutup tong drum perlu dibuka dan kemudian tong drum dibaringkan. Arang tempurung kemudian dikeluarkan secara perlahan-lahan dimana lazimnya arang tempurung yang terhasil berwarna hitam, berkilat, keras dan mudah untuk dipatahkan. Ciri seperti ini menunjukkan kualitinya baik. Jika dibuat ujian makmal lazimnya kadar air dalam produk arang tempurung kelapa antara 50-70%. Arang tempurung ini kemudian akan dimasukan dalam bekas dan dijual. Wasallam!.
BUAT ARANG... AKTIF KARBONNYA...
TERMPURUNG KELAPA....ASASNYA...
DIBAKAR HABIS... IKUTI CARANYA...
PENAPIS AIR... PELBAGAI GUNA...

By,
M Anem,
Agriculture Experts,
Kilang Kelapa HOT R.E.E Sdn Bhd,
Kg Telok, Hutan Melintang,
Perak, Malaysia.
(28 Muharam 1436H)



No comments: